7 Tips Memulakan Perniagaan & Menjadi Usahawan Dropship Malaysia Yang Berjaya

Memulakan sesuatu perniagaan bukanlah suatu perkara yang mudah terutamanya bagi mereka yang baru ingin berjinak-jinak, mempunyai modal yang kecil, masa yang terhad, tiada pengalaman dalam pemasaran dan pengetahuan dalam pengurusan kewangan.

Oleh sebab itu, perniagaan jenis dropship menjadi pilihan ramai terutamanya bagi mereka yang ingin menceburkan diri dalam bidang perniagaan pada masa lapang iaitu selepas waktu bekerja atau ingin menjana pendapatan tambahan untuk diri sendiri dan keluarga. Usahawan dropship tidak perlu menghasilkan produk sendiri atau menguruskan segala hal-ehwal berkaitan pengilangan, pembungkusan, penghantaran dan sebagainya.

Dropshipping merupakan jenis perniagaan di mana penjual hanya berfungsi sebagai “orang tengah” yang akan menyerahkan proses penerimaan tempahan dan penghantaran produk kepada pihak pemilik produk setelah berjaya melakukan jualan. Sebagai penjual, anda akan menjana keuntungan berdasarkan kepada margin atau peratusan yang telah dipersetujui bersama pemilik produk tersebut.

Kelebihan perniagaan dropship Malaysia: –

  1. Tidak memerlukan modal yang besar: Penjual tidak perlu menyimpan inventori yang memerlukan belanja yang tinggi kerana biasanya pengilang hanya memberikan harga yang rendah apabila membeli secara pukal (kuantiti yang besar). Anda juga tidak perlu menyewa kedai atau gudang untuk menyimpan stok.
  2. Mudah dan efisyen: Oleh kerana anda tidak menyimpan stok, anda tidak perlu berasa terbeban untuk mengejar sasaran jualan. Anda juga boleh bermula secara kecil-kecilan pada masa lapang dan menimba pengalaman.
  3. Boleh dijalankan di mana-mana sahaja: Dengan kemajuan teknologi Internet yang semakin pesat dan mudah dicapai, anda boleh melakukan pemasaran secara atas talian walaupun di mana sahaja anda berada.
  4. Model perniagaan yang telah terbukti: Model ini bukan hanya digunakan di Malaysia tetapi juga popular di serata dunia termasuk di negara-negara maju.

Modul perniagaan ini boleh dianggap sebagai “menang-menang” bagi kedua belah pihak kerana anda tidak perlu menanggung risiko stok tidak terjual manakala bagi pihak pemilik produk pula akan dapat mengurangkan kos pemasaran.

Berikut adalah beberapa tips berguna yang perlu anda ketahui sebelum menceburkan diri dalam perniagaan ini: –

LANGKAH 1: Pemilihan Industri Atau Jenama

Sebelum menentukan produk yang ingin dipasarkan, anda perlu melakukan pemilihan industri berdasarkan minat atau pengetahuan anda. Sememangnya tidak menjadi suatu kesalahan untuk menjual apa jua produk tetapi adalah digalakkan untuk memulakan perniagaan dropship pertama anda dalam industri yang diminati untuk mengelakkan anda cepat berputus asa sekiranya tidak berjaya melakukan jualan pada peringkat awal.

Selain itu anda boleh memilih jenama tertentu di mana anda telah menggunakannya dan berpuas hati dengan produk yang dikeluarkan oleh syarikat tersebut. Ini membolehkan anda menceritakan pengalaman anda sendiri dan meyakinkan bakal pelanggan anda.

LANGKAH 2: Hubungi Pembekal Atau Pemilik Produk

Setelah menentukan industri atau jenama dropship Malaysia yang ingin dipasarkan, anda perlu menghubungi pihak yang berkenaan. Sebelum memulakan rundingan, anda perlu mengajukan soalan-soalan berikut: –

  • Berapa lamakah masa akan diambil untuk pesanan dihantar sebaik sahaja anda membuat pesanan dengan mereka?
  • Apakah jenis penghantaran yang mereka tawarkan? Contohnya pos laju, atau penghantaran bagi pelanggan antarabangsa, syarikat yang mereka gunakan dan sistem pengesanan pakej mereka.
  • Bagaimanakah sistem kawalan kualiti mereka? Anda tidak mahu berurusan dengan produk yang bermasalah. Ini kerana sekiranya terdapat banyak masalah yang melibatkan pemulangan semula, ia akan membazirkan masa, tenaga dan wang anda bagi memasarkan produk tersebut.
  • Adakah mereka menawarkan jaminan?
  • Adakah anda dibenarkan untuk menggunakan gambar produk mereka dan apakah material pemasaran yang akan mereka bekalkan kepada anda?

Sekiranya anda telah berpuas hati dengan jawapan yang diberikan, anda boleh memulakan rundingan berkaitan perkongsian keuntungan (margin).

LANGKAH 3: Pemilihan Produk Yang Bakal Dijual

Pemilihan produk hendaklah berdasarkan populariti atau permintaan pelanggan. Tiada gunanya bagi anda memasarkan produk dropship Malaysia yang tidak mendapat sambutan walaupun setinggi manapun komisyen yang ditawarkan.

Berikut adalah kaedah bagaimana untuk menentukan pemintaan bagi sesuatu produk: –

  1. Bertanya terus kepada pemilik atau pengedar produk. Anda juga boleh mengetahui tren bagi sesuatu produk sama ada ianya meningkat ataupun menurun.
  2. Melayari laman web media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter, Pinterest dan sebagainya dan melihat pada bahagian komen sama ada produk tersebut mendapat maklum balas yang ramai ataupun tidak.
  3. Sekiranya produk yang anda ingin pasarkan adalah keluaran syarikat baru, anda boleh melayari laman web media sosial bagi syarikat pesaing yang lain. Sekiranya, produk yang sama mendapat maklum balas yang ramai, maka produk tersebut sedang mendapat sambutan ramai.

LANGKAH 4: Pendaftaran Syarikat (SSM)

Ramai yang menyangkakan bahawa usahawan dropship Malaysia tidak perlu mendaftarkan syarikat kerana produk yang dipasarkan adalah bukan milik mereka. Ternyata sangkaan tersebut tidak tepat dan telah disangkal oleh pihak SSM melalui laman sosial Facebook mereka: –

dropship malaysia

Kegagalan mendaftar syarikat boleh menyebabkan peniaga dropship Malaysia dikenakan denda sebanyak RM5,000 sekiranya gagal memaparkan maklumat berikut: –

  1. Nama perniagaan
  2. Nombor pendaftaran perniagaan atau syarikat
  3. Alamat emel
  4. Nombor telefon

LANGKAH 5: Menentukan Platform Pemasaran

Sebagai permulaan, kebanyakkan usahawan dropship Malaysia akan mula memasarkan produk melalui post di laman media sosial kepada saudara-mara atau rakan-rakan. Ini membolehkan anda mengumpulkan dana yang mencukupi untuk melakukan pemasaran secara berbayar.

Di Facebook, anda boleh menghasilkan laman khas yang dikenali sebagai Fan Page di mana segala promosi dan penyebaran informasi berkaitan produk boleh dilakukan di sana. Sebelum melakukan sebarang promosi berbayar, pastikan anda mempelajari tekniknya terlebih dahulu untuk mengelakkan pembaziran wang.

Selain daripada laman media, anda boleh melakukan pemasaran melalui laman web papan iklan seperti Mudah, Majalah dan sebagainya. Terdapat juga portal gedung online seperti Lelong, Lazada dan sebagainya yang boleh digunakan mengikut kesesuaian produk yang anda pasarkan.

Anda juga boleh melakukan pemasaran secara tradisional iaitu saluran verbal dengan menceritakan tentang produk tersebut secara langsung dengan orang di sekeliling anda.

LANGKAH 6: Mengumpul Senarai Maklumat Pelanggan

Pernahkah anda mendengar ungkapan, “The Money is in the List”?

Ungkapan ini amat terkenal di kalangan usahawan Internet kerana senarai pelanggan (list) merupakan elemen terpenting dalam menjana pendapatan yang berterusan.

Ini kerana untuk mendapatkan pelanggan baru adalah sukar dan mahal. Mengekalkan pelanggan yang sedia ada adalah lebih mudah dan anda boleh mempromosikan produk-produk yang lain kerana mereka telah mempercayai anda.

Selain itu, mereka juga mampu menjadi agen pemasaran anda kerana sekiranya produk yang mereka gunakan adalah berkualiti dan memuaskan hati, mereka pasti akan memperkenalkannya kepada orang di sekeliling mereka.

LANGKAH 7: Ulang Semula Langkah Di Atas

Tidak dinafikan adalah mudah untuk kita berada dalam zon selesa apabila perniagaan yang kita jalankan telah menjana keuntungan. Namun begitu, sebagai usahawan anda perlu sentiasa peka, berwaspada dan mempunyai pelan alternatif sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini.

Bayangkan sekiranya produk atau jenama dropship Malaysia yang anda promosikan tidak lagi mendapat sambutan atau dihentikan pengeluarannya atas sebab-sebab tertentu, ini pastinya akan memberikan tekanan kepada anda dan keluarga yang telah bergantung kepada sumber pendapatan tersebut.

Oleh itu, adalah dinasihatkan agar anda membuka cabang baru dengan menceburi perniagaan dropship dalam industri yang berlainan supaya anda sentiasa dalam zon selamat. Walaubagaimanapun, anda perlu fokus dan memastikan industri yang anda sedang usahakan telah berjaya sebelum membuka cabang yang baru.

Akhir kata, kami di LANAFIRA berharap tips-tips di atas dapat membantu usahawan baru seperti anda untuk berkecimpung dalam bidang perniagaan dropship Malaysia. Sekiranya anda berminat untuk menjalankan perniagaan dropship untuk jenama LANAFIRA, anda boleh melawat Dropship @ Lanafira atau boleh menghubungi kami terus di whatsapp wasap.my/60195231203.

Sekian dari LANAFIRA dan semoga anda terus stylish.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

BeautyYou!

Subscribe and immediately you will get

10% discount and our FREE fashion ebook!

Thank you for sending!