Etika Kerja Profesional

Ada lima peraturan penting yang perlu diamalkan untuk membentuk personaliti kerjaya yang sempurna dan profesional: 

  1. Tumpukan perhatian sepenuhnya kepada tugas dan elakkan daripada melakukan perkara yang tidak berfaedah. Buktikan anda mampu melaksanakan tanggungjawab yang diberikan. 
  2. Jangan campur adukkan masalah peribadi dengan tugas dan yang paling penting, jangan dedahkan rahsia syarikat / organisasi walaupun kepada orang paling rapat dalam hidup anda seperti keluarga atau kekasih. 
  3. Gunakan masa dengan bijak kerana dari sudut perniagaan syarikat, ‘masa itu wang’. Misalnya jika ada temu janji dengan pelanggan, datang tepat pada waktunya. Kegagalan menepati waktu mungkin menyebabkan syarikat mengalami kegagalan beribu-ribu ringgit. 
  4. Tunjukkan sikap bertanggungjawab dan boleh dipercayai kerana inilah kunci kejayaan dalam kerjaya. 
  5. Sentiasa berfikiran terbuka dan bersikap positif dalam menghadapi apa jua perkara atau masalah.

Di samping itu kita perlu bijak menjaga hubungan dengan ketua jabatan, rakan sepejabat dan pelanggan untuk mewujudkan suasana harmoni. Ingatlah semua orang penting, sama ada pengurus besar ataupun pembantu pejabat. Justeru jangan amalkan sikap ‘double standard’.

Jika ingin mencapai kejayaan dalam kerjaya, lakukan dengan cara ‘bersih’. Jangan mengampu atau ambil kesempatan atas kelemahan orang lain. Jangan mudah berkecil hati jika bos menhkritik, sebaliknya jadikan iktibar agar tidak melakukan kesilapan serupa pada masa hadapan.

Jangan bersikap ego, tidak mahu menerima nasihat, terutama daripada rakan yang berjawatan lebih rendah. Mungkin kelulusan mereka tidak tinggi tetapi banyak pengalaman dan sudah masak asam garam dunia pekerjaan. Jangan lokek membantu rakan yang dalam kesulitan melaksanakan tugas mereka.

Awasi kata-kata walaupun ketika bergurau dan jangan sesekali menggunakan perkataan yang boleh menyinggung perasaan orang lain. Jangan jatuhkan air muka rakan atau pelanggan, terutama di khalayak ramai.

Jika tugas memerlukan anda bertemu pelanggan, amalkan sifat positif dan bertanggungjawab. Jika ada temu janji, datang tepat pada waktunya. Kepentingan pelanggan jangan diabaikan. Sentiasa bekalkan mereka dengan maklumat mutakhir.

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *